PRA SEKOLAH, TADIKA KERAJAAN DAN SWASTA DICADANG BUKA 1 JULAI 2020



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini telah membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dan mencadangkan prasekolah, tadika kerajaan, dan tadika swasta beroperasi bermula 1 Julai 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pihaknya telah menerima dan bersetuju dengan SOP yang telah dibentangkan.

“Kita bersetuju dengan SOP yang dibentangkan dan cadangan prasekolah dan tadika dibuka adalah pada 1 Julai 2020,” katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Putrajaya.

Ismail berkata perincian lengkap mengenai SOP pembukaan prasekolah akan diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin.

“SOP sebelum kemasukan pelajar, sewaktu dalam kelas, waktu pulang dan SOP cara bermain dan waktu makan semuanya lengkap tetapi perinciannya akan diumumkan menteri pendidikan,”katanya.

Ismail memaklumkan pembukaan itu nanti akan melibatkan 6,216 prasekolah, 7,887 tadika swasta, 8,530 Tadika Kemas dan 1,781 Tadika Perpaduan. – AlHijrah Online / Zaim Zamani

No comments

Powered by Blogger.