Apabila Ilmu Diamalkan Dalam Kehidupan
Menghayati Ilmu Yang Dipelajari
Pada kesempatan ini saya ingin membicarakan berkenaan kewajipan beramal dan menghayati ilmu. Sebagaimana yang sedia maklum dalam Islam ilmu itu ada dua jenis iaitu ilmu fardhu Ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu Ain ialah suatu ilmu yang mesti dipelajari oleh semua umat Islam apabila cukup syaratnya dan tidak terlepas kewajipanya dengan diwakili oleh segelintir orang Islam yang lain.
Manakala ilmu fardhu kifayah
pula ialah suatu ilmu yang mesti dipelajari oleh umat Islam dengan hanya
segelintir daripada mereka sahaja. Contoh ilmu fardhu Ain ialah solat lima waktu
dan lain-lain. Manakala contoh ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu mengenai
membuat kenderaan seperti kereta dan sebagainya. Kedua-kedua ilmu tadi mesti
diamalkan dan dihayati dalam kehidupan orang Islam. Kewajipan dalam menuntut
ilmu, adalah menjadi suatu tanggungjawab dengan mengamalkan serta mempraktikkan
ilmu yang telah dipelajari. Kita tidak perlu untuk menunggu sehingga sesuatu
ilmu itu banyak untuk mengamalkannya. Amalkanlah setiap ilmu yang kita sudah
mempelajarinya meskipun sedikit asalkan kita berusaha dan ikhlas dalam
mengamalkannya.
Antara cara kita mengamalkan sesuatu ilmu yang telah
dipelajari itu adalah dengan mengajarkannya atau berkongsi dengan orang
lain. Pepatah arab pernah mengatakan bahawa:
الْعِلْمُ
بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ
Maksudnya:
“Ilmu
tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”
Maksudnya, sebesar mana pun sesuatu pohon itu, tetap tidak
dapat memberikan manfaat kepada sesiapa pun sekiranya pokok tersebut tidak
menghasilkan dan mengeluarkan buah. Begitulah juga perumpamaannya dengan ilmu.
Sehebat mana atau setinggi mana ilmu seseorang itu, tetapi kalau tidak
diamalkan atau perkongsikan samalah seperti pohon yang tidak berbuah.
Syeikh Abdurrahman bin Qasim rahimahullah juga pernah mengatakan bahawa:
“Amal
adalah buah dari ilmu. Ilmu itu ada dalam rangka mencapai sesuatu yang lainnya.
Ilmu diibaratkan seperti sebuah pohon, sedangkan amalan adalah seperti buahnya.
Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam seseorang harus menyertainya dengan
amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih
buruk keadaannya daripada orang bodoh.”
Oleh itu saudara, amalkanlah sesuatu ilmu walaupun sedikit
kerana ia pasti akan membawa keberkahan dalam hidup kita. Begitu juga,
janganlah kita meninggalkan ilmu yang telah kita pelajari kerana lambat laun
ilmu itu pasti akan hilang dan lari meninggalkan kita. Sebaliknya, genggamlah
ilmu itu dengan kuat, nescaya ilmu itu pasti akan memberi manfaat kepada kita
baik di dunia, mahupun di akhirat.
Akhir sekali, marilah bersama-sama kita mengamalkan doa yang
pernah dibacakan oleh Nabi s.a.w yang berbunyi:
” Ya
Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan
yang diterima”.
(Hadis
Riwayat Al-Baihaqi)
Doa ini pernah dibacakan oleh Nabi s.a.w selepas
selesai menunaikan solat fardu subuh. Mudah-mudahan kita dikurniakan kita ilmu
yang bermanfaat, rezeki yang baik, amalan yang diterima serta diberikan
kekuatan untuk mengamalkan setiap ilmu yang telah kita pelajari sehingga akhir
hayat kita, allahumma amin.
Sekian.
Nukilan dari Ustaz Tarmizi bin Yunus
Guru Bahasa Arab SK Telosan
Leave a Comment